ESOK Ahad (27 Disember 2009) hari ke10 dalam bulan
Muharram mengikut kalender Islam.
Islam menganjurkan umatnya beramal kepada Allah
sepanjang masa selagi hayat dikandung badan. Namun,
ada kelebihan pada hari tertentu di mana kita digalakkan
mengamalkan ibadat sunat.
ALLAH mengurniakan kelebihan yang banyak bagi sesiapa
yang meningkatkan amal pada Muharram. Antaranya
berpuasa sunat pada 10 Muharram atau lebih dikenali
dengan Hari Asyura.
Daripada Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud:
"Orang Quraisy pada zaman jahiliah berpuasa pada Hari
Asyura, dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada Hari
Asyura. Maka, apabila Baginda datang ke Madinah,
Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang
ramai berpuasa.
"Apabila difardukan kewajipan puasa Ramadan, di
tinggalkan puasa pada Hari Asyura, lalu Baginda bersabda:
"Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa
yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya."
(Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim)
BANYAK peristiwa penting berlaku pada 10 Muharram
yang menunjukkan kebesaran Allah.
Pendakwah bebas, Abu Hasan Al-Ash'ari
Zakaria, berkata amalan baik yang baik boleh dilakukan pada hari itu dan juga
hari seterusnya pada Muharram kerana banyak amalan dianjurkan Islam untuk
dilaksanakan umatnya sepanjang bulan ini.
"Ada badan, tayar, enjin dan
stereng, kereta boleh jalan. Tetapi apabila ditambah sport
rim dan sarung kulit, maka kereta nampak lebih cantik dan menambah
nilai kenderaan itu.
"Begitu juga ibadat wajib seperti solat dan
puasa, jika tidak ditambah dengan amalan sunat, bukan tidak elok tetapi
tidak cantik.
"Untuk mencantikkan, kita
banyakkan amalan sunat," katanya.
Abu Hasan berkata, walaupun peristiwa besar banyak
berlaku pada 10 Muharram, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan sunat sepanjang bulan
pertama kalendar Islam itu yang juga termasuk dalam empat bulan diharamkan
Allah berperang.
Walaupun sunat puasa pada 10 Muharam lebih elok jika
berpuasa sama ada pada 9 dan 10 atau 10 dan 11 Muharam bagi
mengelakkan menyamai puasa orang Yahudi.
Katanya, ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah,
Rasulullah SAW melihat orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura lalu
bertanya kenapa mereka berpuasa pada hari itu?
Orang Yahudi menjawab, mereka berpuasa sebagai
mengenang hari Allah menyelamatkan Nabi Musa dan
menenggelamkan Firaun dengan askarnya, maka . Nabi Musa berpuasa
sebagai tanda bersyukur kepada Allah pada hari itu. Maka
Rasulullah berkata: "Kamilah yang lebih berhak mengikut jejak Nabi Musa
daripada kamu." Lalu Baginda berpuasa dan menyuruh
sahabatnya agar berpuasa juga pada hari itu.
Abu Hasan berkata, selain puasa sunat, amalan baik
yang dikerjakan ulama ialah solat sunat 10 Muharam yang dilakukan selepas
solat fardu kecuali selepas Subuh dan Asar.
Selepas solat sunat, digalakkan membaca doa
bermaksud: "Allah yang memberi pertolongan."
Atau membaca doa yang dianjurkan Saidina Ali yang
memohon Allah menunjukkan jalan yang lurus, dijauhkan bala bencana dan dikabulkan hajat. Begitu
juga dengan amalan memasak bubur Asyura untuk disedekahkan, seeloknya
tradisi itu diteruskan sebagai pengerat silaturahim antara saudara
dan jiran tetangga. "Secara tidak langsung kegiatan
seperti itu memupuk kemesraan dan menggalakkan orang kaya bersedekah
kepada fakir miskin.
PERISTIWA 10 MUHARRAM
* Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
* Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran
Raja Namrud.
* Allah memulihkan penglihatan Nabi Yaakob yang
kabur.
* Allah mengampunkan kesalahan Nabi Daud.
* Allah menjadikan Luh Mahfuz.
* Allah menjadikan malaikat Jibrail.
0 comments:
Post a Comment